KHASIAT MISAI KUCING


Pokok misai kucing merupakan sejenis pokok berbunga dan sering ditanam sebagai pokok perhiasan. 

Daun Misai Kucing tersusun dalam pasangan yang bertentangan. Daun Misai Kucing berasa licin, berwarna hijau, berbentuk tirus di hujung dan tepi daun bergerigi. Tangkai daun pendek, lebih kurang 0.3 cm panjang dan berwarna ungu-kemerahan. Batang pokok Misai Kucing berbentuk empat segi, berwarna kemerahan, tumbuh tegak dan bercabang-cabang.

Herba Misai Kucing boleh ditanam sepanjang tahun dan ia boleh tumbuh setinggi 0.3 hingga 1 meter. Misai Kucing mempunyai bunga yang berwarna putih dan keseluruhan tumbuhan ini boleh digunakan sebagai ubat.

 Daun pokok Misai Kucing juga digunakan sebagai herba perubatan untuk merawat penyakit kencing manis. Herba Misai Kucing digunakan untuk memperbaiki saluran kencing dan buah pinggang dan bagi membantu mengelakkan penyakit batu karang. Mengikut kajian yang sudah dibuat, daun nya yang sudah dikeringkan adalah bersifat diuretik dan membantu menyingkirkan asid urik yang berlebihan dalam badan.

Herba Misai Kucing telah digunakan sejak beratus-ratus tahun dahulu oleh pengamal perubatan tradisional untuk merawat penyakit berkaitan pundi kencing (seperti batu karang) dan buah pinggang. Kandungan ortosifonim dan garam kalium (yang terdapat pada daunnya), merupakan komponen utama yang membantu larutnya asid urik, fosfat dan oksalat dalam tubuh manusia, terutama dalam hempedu ataupun ginjal sehingga dapat mencegah terjadinya endapan batu karang. Kandungan saponin dan tanin pada daun juga boleh mengubati penyakit keputihan yang dialami oleh sesetengah wanita.  
Penyelidikan semasa telah mengenal pasti kesan-kesan Misai Kucing sebagai berpunca daripada komponen fenolik dan flavonoid. Sebatian-sebatian ini merangsang pembersihan sel dan perlindungan yang lebih baik melalui beberapa kaedah. Pertama, ia meningkatkan pembuangan asid metabolik dan natrium melalui ginjal (buah pinggang), yang dipanggil diuresis, dengan cara yang tidak memudaratkan ginjal. Ini menjadikannya antara bahan diuretik paling selamat di kalangan ubatan herba. Sesetengah daripada hasil penyelidikan awal terhadap herba ini telah dibuat berhubung usaha menilai kegunaannya sebagai rawatan tradisional untuk menghapuskan batu karang. Ia merupakan salah satu daripada segelintir bahan herba yang telah diluluskan oleh kerajaan Jerman untuk meningkatkan isi padu air kencing bagi mencegah batu karang. Ia disyorkan khusus untuk mencegah pembentukan batu karang akibat asid urik. Dos saranan untuk herba kering ialah 300 - 800 mg sehari, yakni kira-kira 1.5 - 4 gram daun segar.
Selain itu, daun misai kucing juga digunakan sebagai rawatan sakit pinggang, radang ginjal, masuk angin, kencing manis dan demam. Tanaman ini juga boleh digunakan sebagai bahan antialergi, gout, athritis (radang sendi) dan reumatik (sengal-sengal atau lenguh) kerana ia dapat menyingkirkan asid urik dan toksik metabolik yang berlebihan pada sendi dan otot. Bila asid-asid ini terkumpul secara berlebihan pada tisu-tisu, ditambah pula dengan sistem pengedaran yang lemah, itulah yang menyebabkan kesakitan dan radang pada sendi dan otot. Disamping itu juga, misai kucing digunakan untuk mengurangkan kolesterol dan tekanan darah. Penyelidikan juga telah mendapati ianya bersifat antiseptik.
Para penyelidik daripada Fakulti Farmasi, Universiti Fukuyama, Jepun telah mendapati bahawa sesetengah daripada sebatian herba ini menggalakkan penurunan secara berterusan terhadap tekanan darah sistolik melalui tindakan vasodilasi (pengembangan pembuluh darah), penurunan keluaran kardiak dan tindakan diuretik dalam penghapusan natrium. Ini menerangkan dengan jelas kesan-kesan positif herba ini dalam rawatan hipertensi yang mana telah berlaku penggunaan herba ini secara berdokumen sebagai rawatan tradisional di Indonesia selama ratusan tahun yang lalu. Dalam satu kajian yang hasilnya diterbitkan pada tahun 2007 oleh Pusat Kajian Sains Farmaseutik di Universiti Sains Malaysia herba ini didapati mengandungi sifat-sifat antioksidan dan penghapus radikal bebas. Ini juga mengesahkan penggunaannya secara tradisional dalam merawat masalah hati, kerana ia telah terbukti merangsang perlindungan hati daripada keracunan bahan toksik secara bergantung pada dos (dosedependent).

 
Secara ringkasnya kepentingan daun misai kucing adalah seperti berikut:
  • Mengandungi sifat-sifat anti alergi, antihipertensi, anti inflamatori dan diuretik.
  • Digunakan untuk merawat areriosklerosis (penyakit pada sirkulasi dan kapilari darah), ghout, batu karang, batu hempedu, diabetes dan reumatisme. Bersifat anti fungi dan anti bakteria.
  • Salah satu cara ia bertindak ialah dengan meningkatkan aliran pembuangan air kecil pesakit.
  • Mengandungi kalium yang mempunyai khasiat diuretik dan pelarut batu karang (saluran kencing)

 
Cara penyediaan:
 
Cara penyedian adalah berdasarkan kaedah anda sendiri:
1.Salah satu cara rebus air hingga mendidih,tuang air di dalam cawan, 
ambil sehelai daun misai kucing masukan di dalam cawan , biarkan sehingga sejuk dan minum.
2.Keringkan daun misai kucing,ramas  sehingga hancur,apabila hendak minum,tuang air panas
dan masukan daun misai kucing yg telah di ramas..
3.Pucuknya boleh di jadikan ulam

Comments

Popular Posts